Cara Finland martabatkan guru

Oleh MOHD. MAHZAN AWANG

KITA sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru. Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.

Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru – sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

PENULIS menyambung pengajian di Universiti Dundee, United Kingdom

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz2XxBTRemh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelestarian keharmonian menerusi belajar hidup bersama

Oleh DR. MOHD MAHZAN AWANG
Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130527/re_07/Kelestarian-keharmonian-menerusi-belajar-hidup-bersama#ixzz2XxAvlp72
© Utusan Melayu (M) Bhd

KEHARMONIAN untuk hidup bersama adalah asas utama kepada kelestarian kemajuan negara. Pertukaran kepimpinan negara yang berlaku di negara bergolak membuktikan bahawa kegagalan untuk mendidik rakyat untuk hidup bersama telah membawa kepada konflik berdarah yang berterusan.

Kegagalan menguruskan perkara ini menjadikan usaha pembangunan dan kelestarian kesejahteraan masyarakat terjejas teruk. Tiada formula pantas untuk menyatukan masyarakat untuk hidup bersama kerana usaha tersebut memerlukan perancangan dan amalan pendidikan yang bijak.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), salah satu daripada empat tiang pembelajaran adalah ‘belajar untuk hidup bersama’.

Ia mengetengahkan bahawa kehidupan ini dipenuhi dengan kepelbagaian dan perbezaan dalam pelbagai aspek termasuklah keupayaan kognitif, sistem kepercayaan, budaya, adat, etnik, tradisi, ideologi, minat, bakat dan pelbagai lagi. Perbezaan inilah yang menjadi elemen pertimbangan dalam penggubalan dasar-dasar pendidikan di kebanyakan negara.

Sekolah adalah sebuah pusat perkumpulan kepelbagaian ini dan menjadi satu ‘makmal’ untuk mengharmonikan perbezaan ini. Kegagalan mengharmonikan perbezaan ini akan menghasilkan satu bentuk masyarakat yang kacau bilau.

Banyak negara yang bergolak hari ini adalah natijah daripada kegagalan untuk mendidik masyarakat untuk hidup bersama. Terdapat beberapa model yang digunakan oleh negara di dunia ini yang dilihat berjaya memupuk rakyat untuk hidup bersama.

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, pengurusan kepelbagaian serta usaha memupuk kerjasama untuk hidup bersama adalah berakar umbi kepada usaha menegakkan hak asasi manusia. Kanak-kanak dididik agar mengetahui hak asai diri serta guru-guru dilatih agar membudayakan untuk menghormati hak asasi manusia.

Penggunaan hukuman rotan diharamkan di sekolah kerana banyak kajian menunjukkan bahawa ia memberi kesan negatif kepada sosio-emosi dan psikologi pelajar. Semua pelajar berhak mendapat sokongan daripada pihak kerajaan untuk membantu kejayaan mereka.

Di Indonesia, model penyatuan perbezaan masyarakat lebih berpaksikan kepada pembentukan karakter bangsa yang beridentiti nasional.

Ia berasaskan kepada kerangka Thomas Lickona (1992) yang menyaran kepentingan komponen-komponen konsep moral, sikap moral dan perilaku moral dalam pembinaan karakter unggul individu. Bahasa Indonesia menjadi penyatu kepada perbezaan latar belakang masyarakat di negara tersebut. Biarpun terdapat konflik etnik di Indonesia, tetapi ia Berjaya diurus dengan baik oleh pemerintah.

Dua model di atas menunjukkan bahawa formula pendidikan bagi memupuk ‘Belajar untuk hidup bersama’ memerlukan pendekatan yang mengambil kira faktor-faktor kontekstual.

Di Malaysia, pendidikan untuk ‘belajar hidup bersama’ diuruskan dengan menggunakan formula berbeza. Lantaran kepentingan etnik dilihat lebih mendasari kehidupan harian, pelbagai jenis sekolah dibenarkan dalam sistem pendidikan kita.

Kita bukan sahaja membenarkan sistem pendidikan vernakular Cina dan India tetapi juga memiliki pelbagai jenis sekolah yang memfokuskan kepada bidang tertentu termasuklah sekolah sukan dan sekolah teknik dan vokasional, serta sekolah yang dikategorikan berasaskan pencapaian akademik seperti sekolah kluster dan sekolah Sains berasrama penuh.

Kurikulum yang berteraskan kebangsaan telah menjadi penyatu kepada kepelbagaian jenis sekolah di Malaysia. Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai etnik dan latarbelakang berupaya untuk bertolak ansur dalam pelbagai aspek kehidupan, biarpun kadang-kala ia seolah-olah mengetepikan hak dan perasaan diri, kerana keharmonian mempunyai prioriti yang tinggi. Sikap yang positif ini tidak lahir dengan sendiri tetapi ia adalah hasil perancangan dan perlaksanaan sistem pendidikan yang mengambil kira sensitiviti dan kehendak majoriti masyarakat.

Kecenderungan masyarakat Muslim di Malaysia hari ini yang berminat kepada aliran keagamaan memerlukan satu perancangan kurikulum dan dasar yang rapi agar para pelajar dididik untuk hidup bersama. Terdapat banyak sekolah agama swasta yang mengadaptasi kurikulum negara luar untuk pendidikan keagamaan.

Adalah diharap agar aspek-aspek berhubung-kait dengan keharmonian untuk hidup bersama turut dirancang dan dilaksanakan di sekolah-sekolah tersebut. Hal ini kerana pendekatan pendidikan di sekolah agama mempunyai hubungan yang kuat dengan pemikiran dan ideologi pengasas serta guru-gurunya. Perbezaan yang tak diurus dengan baik akan memberi masalah kepada keharmonian negara.

Hakikat hari ini, tiada negara di dunia ini yang hanya memiliki satu bangsa dan satu agama sahaja. Soal kewarganegaraan juga menjadi lebih rencam apabila mobiliti sosial berlaku dengan pantas dan rancak ekoran kemajuan pengangkutan dan globalisasi pengiktirafan pendidikan.

Terdapat ribuan imigran yang berada dalam pelbagai sektor di Malaysia pada hari ini yang mana anak-anak mereka juga akan berada dalam sistem persekolahan kita.

Sejauh mana kerencaman ini dapat diuruskan dengan baik memerlukan pendekatan yang lebih holistik, bersungguh-sungguh dan proaktif.

Ekoran daripada perubahan kepelbagaian tersebut, formula pendidikan untuk hidup bersama perlu disegerakan untuk kelestarian keharmonian.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jegah Jenayah terhadap Kanak-kanak

Oleh Dr. Mohd. Mahzan Awang
PENULIS ialah Pensyarah Pendidikan Komuniti, Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, UKM

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130206/re_05/Cegah-jenayah-terhadap-kanak-kanak#ixzz2XxAABcMc
© Utusan Melayu (M) Bhd

ADA sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat kita hari ini apabila banyak kes jenayah terhadap kanak-kanak dilaporkan media. Ironinya adalah walaupun banyak program pemerkasaan insan kamil dilakukan sama ada menerusi program keagamaan, motivasi, latihan berkumpulan dan pendidikan berterusan, kes tragis melibatkan kanak-kanak kerap kali berlaku.

Dalam kes jenayah terhadap kanak-kanak di Malaysia, keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat tinggi. Ramai yang prihatin dan sensitif dengan nasib kanak-kanak teraniaya, cuma cara menzahirkan keprihatinan masyarakat kita perlu diubah.

Masyarakat kita kerap tersentuh emosi apabila melihat kanak-kanak meminta derma pada waktu tengah hari yang terik. Ramai yang menghulurkan derma dengan niat dapat membantu kanak-kanak. Namun, hakikatnya ia menggalakkan kewujudan peminta derma di jalanan dan juga telah membuka ruang kepada sindiket mencari kanak-kanak bagi tujuan pungutan derma.

Menyalurkan bantuan secara tepat dan betul adalah penting untuk membantu mengurangkan jenayah kanak-kanak. Bagi tujuan itu, pihak berwajib termasuklah kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu mengambil inisiatif yang lebih efisien dengan mempermudahkan proses menyelamatkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa.

Pertama, jadikan sistem talian aduan Nur 15999 lebih proaktif untuk mengawal risiko jenayah terhadap kanak-kanak. Pada masa sekarang, talian tersebut berfungsi sebagai pusat aduan semata-mata, namun sejauh mana tindakan segera diambil daripada aduan penderaan tidak diketahui jelas.

Memahami situasi bahawa penderaan lazimnya dilakukan oleh saudara-mara terdekat di dalam kawasan tertutup, adalah sukar untuk pengadu membuat aduan secara tepat dan terperinci dengan bukti yang konkrit. Maka, sebarang aduan yang dibuat berdasarkan andaian atau kebimbangan pelapor kepada kes penderaan hendaklah diberi keutamaan oleh pihak berwajib.

Kurangkan birokrasi tentang maklumat laporan yang lebih terperinci kerana talian Nur 15999 adalah untuk tindakan pantas pencegahan. Permudahkan urusan ini bererti percepatkan usaha mengawal kejadian yang tidak diingini.

Dengan cara ini, usaha untuk campur tangan langsung masyarakat dalam isu-isu yang sering dikodkan sebagai urusan kekeluargaan (termasuk kes penderaan) dapat dielakkan. Tambahan pula, memukul anak yang kononnya bagi tujuan pendidikan, diterima dalam norma dan budaya kita.

Kajian ilmiah menunjukkan bahawa penderaan fizikal lebih kerap berlaku apabila hukuman berbentuk fizikal dibenarkan dalam norma masyarakat. Hukuman fizikal juga menggalakkan budaya menuduh dan konfrontasi sekali gus meminggirkan budaya tolak ansur, runding cara dan perbincangan.

Kedua, oleh kerana hubungan baik antara guru dan murid di sekolah adalah platform yang terbaik untuk mengesan kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak, tindakan proaktif pihak sekolah amatlah perlu. Guru wajar bertanya khabar secara peribadi terhadap kanak-kanak terutama apabila wujudnya perubahan tingkah laku yang ketara kepada kanak-kanak.

Lazimnya kanak-kanak yang tertekan emosinya mengalami trauma yang bukan sekadar membuatkan mereka tidak yakin diri, malah mempamerkan tingkah laku anti sosial seperti membuli rakan lain dan juga kesukaran untuk membina hubungan baik dengan pelajar lain.

Kegagalan menyiapkan kerja rumah umpamanya adalah indikator kepada kurangnya perhatian penjaga dan ibu bapa kepada kanak-kanak. Ia juga petanda kepada elemen- elemen penderaan emosi dalam keluarga seperti memperkecilkan kebolehan kanak-kanak serta membiarkan kanak-kanak dengan serba kekurangan.

Banyak kanak-kanak di kawasan flat bermain di kawasan yang tidak sepatutnya tatkala ibu bapa sibuk dan asyik dengan tugas masing-masing. Adalah malang sekali bagi kanak-kanak ini apabila guru turut menghukum mereka.

Tindakan guru yang cenderung menghukum pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah adalah suatu yang malang sekali. Bagaimana kerja rumah boleh disempurnakan dalam keadaan persekitaran rumah dan budaya hidup keluarga yang tidak menyokong kepada pembelajaran yang produktif.

Jika ini berlaku, maka penderaan berganda menimpa kanak-kanak tersebut yang lama-kelamaan menyumbang kepada ketidakstabilan emosi dan mental kanak-kanak.

Ketiga, memanfaatkan data penduduk setempat oleh komuniti juga dapat membantu mengurangkan jenayah kepada kanak-kanak. Struktur komuniti di Malaysia pada hakikatnya amat bersistematik. Persempadanan komuniti dipecah-pecahkan mengikut pelbagai saluran seperti persempadanan mengikut Parlimen, Dewan Undangan Negeri, daerah Polis, majlis tempatan, pembangunan mukim, jajahan, kampung, komuniti kejiranan dan pelbagai lagi.

Oleh kerana data-data penduduk berada secara terpisah dalam bank data bagi setiap kelompok persempadanan, perubahan dan perkembangan keluarga dalam komuniti tidak diketahui secara berpusat. Pengintegrasian data pergerakan sosial masyarakat dapat membantu menyelesaikan kes-kes yang melibatkan orang hilang dan juga kemunculan bayi baru yang diragui dalam komuniti.

Tanpa usaha bersepadu sebegini, kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak pasti berlaku secara diam-diam tanpa diketahui umum. Adakah keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak- kanak berada dalam prioriti yang rendah? Mungkinkah juga, ekoran daripada pengaruh individualistik dan sikap tidak campur tangan telah membuatkan jenayah terhadap kanak-kanak terus menjadi-jadi?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130206/re_05/Cegah-jenayah-terhadap-kanak-kanak#ixzz2XxA71Y1g
© Utusan Melayu (M) Bhd